skm logo Koperasi Keluarga Hashim Rauf Sdn Bhd - DEC 2018
( Shahrul - 23-07-2026 )
Perancangan
Strategi Audit
Pelaksanaan
Laporan
Storage
Perkara Dasar Tindakan
Asas Penyediaan

Penyata kewangan Suruhanjaya telah disediakan mengikut Piawaian Pelaporan Entiti Persendirian Malaysia (MPERS) yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB).

Penyata kewangan Suruhanjaya telah disediakan mengikut asas kos sejarah, kecuali seperti yang didedahkan dalam ringkasan polisi perakaunan yang signifikan.

Penyediaan penyata kewangan mengikut MPERS memerlukan pengurusan untuk membuat pertimbangan, anggaran dan andaian yang mempengaruhi pemakaian polisi perakaunan dan laporan amaun aset, liabiliti, pendapatan dan perbelanjaan. Walaupun pertimbangan, anggaran dan andaian adalah berdasarkan kepada pengetahuan dan tindakan semasa pihak pengurusan yang terbaik, keputusan sebenar mungkin berbeza.

Anggaran dan andaian disemak atas dasar berterusan. Semakan anggaran perakaunan diiktiraf dalam tempoh di mana anggaran disemak dan dalam mana-mana tempoh hadapan yang berkenaan.

Peletakhakan Aset, Hak dan Liabiliti

Ini merupakan aset, hak dan liabiliti Kerajaan Malaysia yang dipindahkan kepada dan dipeletakhakan dalam Suruhanjaya. Ianya dinyatakan selepas mengambilkira semua perbelanjaan terus dan susutnilai aset yang dipeletakhakan.

Peletakhakan aset, hak dan liabiliti dinyatakan pada nilai saksama dan diiktiraf dalam penyata kedudukan kewangan berdasarkan kepada tarikh peletakhakan.

Peletakhakan aset bukan tunai dilunaskan berdasarkan kepada anggaran hayat penggunaannya. Manfaat ini dinyatakan sebagai pelunasan ke atas geran yang diterima dalam penyata perubahan ekuiti.

Harta, Kelengkapan dan Peralatan

  1. Kos

    Harta, kelengkapan dan peralatan dinyatakan pada kos sejarah setelah ditolak susutnilai terkumpul dan kerugian rosotnilai.

    Kos adalah termasuk perbelanjaan yang berkaitan terus dengan perolehan sesuatu aset.

    Kos berikutan diambil kira dalam jumlah bawaan aset atau diiktiraf sebagai aset berasingan, yang mana berkenaan, jika manfaat ekonomi masa hadapan berkaitan item berkenaan berkemungkinan akan mengalir kepada Suruhanjaya dan kos berkenaan boleh diukur dengan pasti.

  2. Susutnilai

    Harta, kelengkapan dan peralatan disusutnilaikan mengikut kaedah garis lurus untuk menghapus kira kos sesuatu aset, atau amaun nilaian semula, kepada nilai baki ke atas anggaran tempoh hayat kegunaan. Kadar susutnilai tahunan yang diguna pakai telah diringkaskan seperti berikut:

    Tanah pegangan pajak Tempoh pajakan
    Bangunan 2%
    Peralatan Bangunan 20%
    Kenderaan 20%
    Perisian dan Perkakasan Komputer 20% - 33 1/3%
    Peralatan Perabot Pejabat dan Kelengkapan 20%
    Ubahsuai 20% - 33 1/3%

    Susutnilai ke atas harta, kelengkapan dan peralatan dalam pembinaan akan bermula apabila harta, kelengkapan dan peralatan berkenaan diserahkan dan sedia untuk kegunaan yang dimaksudkan. Susutnilai ke atas harta, kelengkapan dan peralatan akan dihentikan apabila dinyahiktiraf dan diklasifikasi sebagai harta untuk jualan.

    Nilai baki dan tempoh jangka hayat kegunaan harta, kelengkapan dan peralatan akan dikaji dan diselaraskan, jika perlu, pada tarikh pelaporan.

    Pada setiap tarikh pelaporan, Suruhanjaya akan menilai sama ada terdapat sebarang petanda rosotnilai. Sekiranya petanda berkenaan wujud, satu analisa akan dilaksanakan untuk menilai sama ada amaun bawaan aset boleh diperolehi semula sepenuhnya. Penurunan nilai dilakukan jika amaun bawaan melebihi amaun boleh pulih. Sila rujuk nota 2(d) polisi perakaunan mengenai rosotnilai aset.

    Keuntungan atau kerugian daripada pelupusan harta, kelengkapan dan peralatan adalah perbezaan antara hasil pelupusan bersih dan amaun bawaan bagi harta, kelengkapan dan peralatan, dan didedahkan dalam penyata pendapatan.

Rosotnilai Aset

Nilai bawaan harta, kelengkapan dan peralatan disemak semula untuk menentukan sama ada terdapatnya sebarang petunjuk rosotnilai. Rosotnilai diukur dengan membandingkan nilai bawaan aset dengan jumlah boleh diperolehi semula. Kerugian rosotnilai diiktiraf sebagai perbelanjaan dalam penyata pendapatan dengan serta merta.

Peningkatan jumlah boleh diperolehi semula aset yang berikutnya dianggap sebagai penerbalikan kerugian rosotnilai sebelum ini dan diiktiraf sehingga tahap nilai bawaan aset yang akan ditentukan (bersih daripada pelunasan dan susutnilai) sekiranya tiada kerugian rosotnilai diiktiraf. Penerbalikan diiktiraf dalam penyata pendapatan dengan serta merta.

Pajakan

Terma pajakan oleh Suruhanjaya yang menjangka dengan ketara segala risiko dan ganjaran bagi hak pemilikan adalah dikategorikan sebagai pajakan kewangan dan terma pajakan di mana Suruhanjaya menjangka dengan ketara semua risiko dan ganjaran dikategorikan sebagai pajakan operasi.

Pembayaran yang dibuat di bawah pajakan operasi dikenalpasti sebagai perbelanjaan sepanjang tempoh pajakan.

Pelaburan Jangka Panjang

Pelaburan jangka panjang dinyatakan pada kos dan dipegang sehingga matang. Peruntukan pengurangan nilai dibuat apabila wujudnya pengurangan yang kekal.

Kerja Dalam Kemajuan

Kerja dalam kemajuan dinyatakan pada kos dan dipermodalkan sebagai harta, kelengkapan dan peralatan setelah sijil akuan siap atau sijil akuan penerimaan diterima oleh Suruhanjaya.

Pembiayaan Pekerja

Pembiayaan pekerja dinyatakan pada kos ditolak peruntukan hutang lapuk dan hutang ragu.

Penghutang Perdagangan

Penghutang perdagangan dinyatakan pada amaun invois ditolak peruntukan hutang ragu. Peruntukan ini dibuat apabila terdapat bukti bahawa Suruhanjaya tidak dapat mengutip amaun berkenaan berdasarkan kepada terma asal penghutang.

Tunai dan Kesetaraan Tunai

Untuk tujuan penyata aliran tunai, tunai dan kesetaraan tunai adalah terdiri daripada tunai dalam tangan, deposit panggilan dengan bank, lain-lain jangka pendek dan pelaburan berkecairan tinggi.

Inventori

Inventori diukur pada nilai terendah antara kos dan nilai realisasi bersih.

Geran Kerajaan

Geran Kerajaan diiktiraf pada nilai saksama apabila terdapat keyakinan munasabah bahawa geran tersebut akan diterima dan kesemua syarat yang ditetapkan akan dipatuhi oleh Suruhanjaya.

Geran kerajaan yang dikaitkan dengan perbelanjaan diiktiraf sebagai pendapatan dalam penyata pendapatan berdasarkan kepada pendekatan yang sistematik ke atas tempoh yang diperlukan untuk memadankan geran tersebut dengan perbelanjaan yang dimaksudkan.

Geran kerajaan yang dikaitkan dengan pembelian aset dimasukkan sebagai pendapatan tertunda pada nilai saksama dan diiktiraf dalam penyata pendapatan berdasarkan jangka hayat aset berkenaan melalui amaun ansuran yang bersamaan.

Faedah Pekerja

  1. Faedah Pekerja Jangka Pendek

    Gaji, cuti tahunan dan cuti sakit berbayar, bonus dan faedah bukan kewangan diiktiraf sebagai perbelanjaan dalam tempoh di mana perkhidmatan berkaitan diberikan oleh pekerja Suruhanjaya.

  2. Pelan Caruman Wajib

    Suruhanjaya mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja yang memilih skim KWSP dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk pekerja yang berada dalam skim pencen Kerajaan. Caruman ini diambil kira dalam penyata pendapatan dalam tempoh di mana ia berkait. Setelah caruman dibayar, Suruhanjaya tidak mempunyai kewajipan pembayaran selanjutnya.

  3. Faedah Pekerja Jangka Panjang

    Pembayaran faedah pekerja jangka panjang selepas persaraan dan/ atau setelah tamat perkhidmatan akan diiktiraf dalam penyata pendapatan tahun semasa sebagai kos faedah pekerja, manakala dalam penyata kedudukan kewangan, amaun ini diiktiraf sebagai liabiliti yang dikenali sebagai Peruntukan Faedah Pekerja.

    Jenis-jenis faedah pekerja jangka panjang yang diiktiraf adalah seperti berikut:

    1. ganjaran wang tunai gantian cuti rehat untuk pekerja Suruhanjaya di bawah Skim PencenKerajaan (GPS); dan

    2. ganjaran wang tunai gantian cuti rehat untuk pekerja Suruhanjaya di bawah Skim Saraan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSSSM)

    Kaedah pengiraan tunai boleh bayar untuk gantian cuti rehat kepada pekerja yang bersara atau yang tamat tempoh perkhidmatan adalah berdasarkan kepada maklumat sebenar sedia ada pada tarikh penyata kedudukan kewangan dan kelayakan berdasarkan kepada terma dan syarat perkhidmatan Suruhanjaya. Gaji akhir di bawah sistem Saraan Malaysia digunakan untuk pengiraan liabiliti di bawah GPS manakala jangkaan gaji masa hadapan digunakan untuk pengiraan liabiliti bayaran gantian cuti rehat dalam bentuk tunai di bawah SSSSM.

  4. Pelan Manfaat Tetap

    Suruhanjaya telah menubuhkan Pelan Manfaat Tetap yang dinamakan Saguhati Tamat Perkhidmatan bagi pekerja Suruhanjaya selepas tamat perkhidmatan.

    Suruhanjaya menentukan nilai semasa obligasi faedah dan nilai saksama pelan aset secara tetap supaya jumlah yang diiktiraf dalam penyata kedudukan kewangan tidak berlainan materialiti daripada jumlah pada akhir tempoh pelaporan.

Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan

Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan (KWDP) mewakili caruman sebanyak tiga puluh peratus (30%) daripada lebihan tahunan semasa sebagaimana yang ditetapkan di bawah seksyen 35(1) (Pindaan) Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001.

Pengiraan amaun caruman boleh bayar kepada Kerajaan adalah berdasarkan kepada jumlah lebihan tahunan semasa sebelum peruntukan cukai dan zakat.

Pemiutang Lain

Pemiutang lain dinyatakan pada nilai nominal yang merupakan nilai saksama pertimbangan yang perlu dibayar dalam tempoh hadapan untuk barangan dan perkhidmatan yang diterima.

Cukai

Cukai pendapatan ke atas lebihan atau defisit bagi tahun kewangan terdiri daripada cukai semasa dan cukai tertunda. Cukai semasa merupakan amaun cukai pendapatan yang dijangka perlu dibayar ke atas lebihan bercukai bagi tahun semasa dan dikira mengikut kadar cukai yang dikuatkuasakan pada tarikh penyata kedudukan kewangan.

Cukai tertunda diperuntukkan mengikut kaedah liabiliti, ke atas perbezaan sementara yang timbul antara asas cukai aset dan liabiliti dan nilai bawaannya dalam penyata kewangan. Pada prinsipnya, liabiliti cukai tertunda diiktiraf bagi semua perbezaan sementara bercukai dan aset cukai tertunda diiktiraf bagi semua potongan perbezaan sementara bercukai, setakat mana terdapatnya kemungkinan keuntungan bercukai masa hadapan yang ada boleh digunakan terhadap potongan perbezaan sementara.

Cukai tertunda dikira pada kadar cukai yang dikuatkuasakan pada tarikh penyata kedudukan kewangan.

Peruntukan

Peruntukan diiktiraf apabila Suruhanjaya mempunyai obligasi perundangan atau konstruktif semasa hasil daripada peristiwa terdahulu yang berkemungkinan akan memerlukan aliran keluar sumber untuk menjelaskan obligasi tersebut, dan apabila anggaran berhubung jumlah tersebut boleh dibuat. Jika Suruhanjaya menjangka sesuatu peruntukan akan dibayar balik (contohnya, di bawah kontrak insurans), pembayaran balik tersebut diiktiraf sebagai aset yang berasingan tetapi hanya apabila pembayaran balik tersebut benar–benar boleh dipastikan. Peruntukan tidak diiktiraf untuk kerugian operasi masa hadapan.

Peruntukan diukur sebagai nilai semasa perbelanjaan yang dijangka akan diperlukan untuk menjelaskan obligasi dengan menggunakan kadar sebelum cukai yang menggambarkan taksiran pasaran semasa nilai masa wang dan risiko khusus obligasi. Peningkatan dalam peruntukan yang disebabkan oleh peredaran masa diiktiraf sebagai perbelanjaan faedah.

Pengiktirafan Pendapatan

Pendapatan terdiri daripada nilai saksama pertimbangan diterima atau boleh terima bagi perkhidmatan yang diberikan mengikut aktiviti Suruhanjaya yang biasa. Pendapatan dinyatakan sebagai nilai bersih selepas cukai tambah nilai, pengembalian, rebat dan diskaun.

Suruhanjaya mengiktiraf hasil apabila amaun tersebut boleh diukur dan dipercayai, kemungkinan aliran manfaat ekonomi masa hadapan kepada Suruhanjaya dan kriteria tertentu telah dapat dipenuhi bagi setiap aktiviti Suruhanjaya seperti berikut:

  1. Pendapatan Perkhidmatan

    Pendapatan perkhidmatan terdiri daripada kutipan fi pendaftaran syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad dan bekalan maklumat korporat sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, Akta Syarikat 1965 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 masing - masing. Pendapatan ini diiktiraf apabila sesuatu perkhidmatan telah sempurna dilaksanakan.

  2. Kompaun

    Kompaun diiktiraf apabila pembayaran diterima kerana memandangkan setiap kompaun yang dikeluarkan hanyalah merupakan satu tawaran dengan tempoh pembayaran yang ditetapkan oleh Pendaftar. Kompaun yang tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan akan disusuli dengan tindakan pendakwaan selaras dengan peruntukan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, Akta Syarikat 1965 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

    Walau bagaimanapun, denda yang diperolehi daripada keputusan Mahkamah hasil daripada tindakan pendakwaan adalah merupakan hasil Kerajaan dan bukannya Suruhanjaya.

  3. Program Latihan Korporat

    Pendapatan daripada Program Latihan Korporat diiktiraf apabila program selesai dilaksanakan.

  4. Faedah, Dividen Dan Keuntungan

    Faedah, dividen dan keuntungan diiktiraf mengikut kaedah perkadaran masa, dengan mengambil kira tunggakan prinsipal dan kadar efektif sehingga tempoh matang, apabila pendapatan berkenaan pasti dapat diakrukan kepada Suruhanjaya.

Pelaburan Hartanah

Pelaburan hartanah merangkumi bahagian pejabat bangunan dan tanah bagi tujuan peningkatan modal atau peroleh hasil sewaan atau kedua-duanya.

Pada peringkat awal pelaburan hartanah direkodkan berdasarkan kos yang terdiri daripada harga belian dan sebarang perbelanjaan secara langsung serta kos lain semasa urusan belian. Kemudiannya pelaburan hartanah direkodkan berdasarkan nilai saksama pada setiap tarikh pelaporan, dan perubahan dalam nilai saksama direkodkan dalam penyata pendapatan.

Kos pengubahsuaian dan penambaikan utama direkodkan sebagai asset dan jumlah bawaan bagi komponen yang digantikan direkodkan dalam penyata pendapatan. Kos penyelenggaraan, pembaikpulih dan penambahbaikan kecil direkodkan di dalam penyata pendapatan apabila ia berlaku.

Bagi pelupusan pelaburan hartanah, perbezaan di antara hasil pelupusan dan jumlah bawaan direkodkan di dalam penyata pendapatan.

Instrumen Kewangan

Instrumen kewangan adalah sebarang kontrak yang meningkatkan kedua-dua aset kewangan sesuatu perusahaan dan liabiliti kewangan atau instrumen ekuiti sesuatu perusahaan yang lain.

Aset kewangan adalah sebarang aset yang berupa wang tunai, hak berkontrak untuk menerima wang tunai atau lain- lain aset kewangan daripada perusahaan lain, hak berkontrak untuk menukar instrumen kewangan dengan perusahaan lain di bawah syarat yang berpotensi menguntungkan, atau instrumen ekuiti perusahaan lain.

Liabiliti kewangan adalah sebarang tanggungan yang merupakan obligasi berkontrak untuk memberi wang tunai atau aset kewangan lain kepada perusahaan lain, atau menukar instrumen kewangan dengan perusahaan lain di bawah syarat yang berpotensi tidak menguntungkan.

Kaedah pengiktirafan yang diterima pakai bagi instrumen kewangan yang diiktiraf dalam penyata kedudukan kewangan didedahkan dalam kenyataan polisi perakaunan individu yang berkaitan dengan setiap instrumen kewangan.